Subscription Modal Banner
Weekly newsletter subscription
Get CompareHero’s top tips and deals, plus an exclusive free guide to investing, sent straight to your inbox.

I agree to the terms and conditions and agree to receive relevant marketing content according to the privacy policy.

Success Tick Icon
Congratulations on successfully joining CompareHero Newsletter

Panduan Memfailkan Cukai Pendapatan Individu (LHDN 2021)

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 22 March, 2022

Sudah tiba masanya untuk anda mengisytiharkan pendapatan anda pada tahun lepas. Sekiranya ini merupakan kali pertama anda melakukan e-filing LHDN 2021 ataupun anda sekadar memerlukan peringatan tentang cara menfailkan cukai pendapatan, artikel ini khusus untuk anda!

Untuk pengetahuan anda, kerajaan mengenakan cukai bagi tujuan mentadbir dan menguruskan negara. Hasil cukai yang dikutip akan dibelanjakan bagi tujuan pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya dan hospital. Bukan itu sahaja, hasil cukai juga disalurkan kepada pembangunan ekonomi dan sosial seperti kebajikan rakyat, perkhidmatan kesihatan, pendidikan.

Untuk artikel ini, kita akan fokus sepenuhnya kepada Cukai Pendapatan Peribadi / Individu Malaysia (YA2021), iaitu cukai yang dibayar oleh pekerja di Malaysia.

Mari kita mulakan dengan soalan asas ini:

Siapa yang perlu memfailkan cukai pendapatan?

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), individu yang berpendapatan melebihi RM34,000 setahun selepas potongan KWSP perlu membayar cukai. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh menghadapi tindakan undang-undang, jadi pastikan anda melakukan bahagian anda dengan mengisytiharkan pendapatan anda.


Amat penting untuk anda faham bahawa menfailkan penyata cukai dan membayar cukai merupakan dua perkara berbeza. Walaupun anda menfailkan penyata cukai belum tentu anda perlu membayar cukai–hanya mereka yang berpendapatan RM34,000 dan lebih setahun.

Untuk mereka yang mempunyai pendapatan yang diperolehi di luar Malaysia, ianya tidak dikenakan cukai. Tetapi anda perlu mengisytiharkan SEMUA jenis pendapatan (termasuk sambilan dan bebas) yang anda perolehi di Malaysia.

Sekarang, mari beralih ke soalan yang lebih terperinci tentang Cukai Pendapatan Peribadi / Individu Malaysia (YA2021):

Bagaimanakah pengiraan cukai individu?

Jumlah pendapatan anda dalam keseluruhan tahun akan ditambah. Kemudian, jika anda layak untuk sebarang pengecualian dan pelepasan cukai, jumlah tersebut akan ditolak daripada jumlah pendapatan anda. Pengecualian dan pelepasan cukai adalah 'diskaun' yang anda boleh tuntut untuk perbelanjaan tertentu yang dibuat pada tahun tersebut. Berikut ialah formulanya:

Jumlah pendapatan – pengecualian dan pelepasan cukai = pendapatan bercukai/ cukai yang perlu dibayar

Kadar cukai anda dikira berdasarkan pendapatan bercukai anda. Jadi lebih banyak pendapatan bercukai yang anda peroleh, lebih tinggi cukai yang akan dikenakan kepada anda. Mengikut laman web LHDN, ini adalah kadar cukai untuk tahun cukai 2021.

Berbalik kepada pengecualian dan pelepasan cukai, ini semua yang diumumkan oleh kerajaan semasa ucapan Bajet 2022:

Individu dan keluarga

  • RM9,000 untuk individu dan saudara tanggungan
  • Sehingga RM4,000 bagi mereka yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk pekerja bebas dan sambilan
  • Sehingga RM3,000 untuk yuran tadika dan taska

Gaya hidup dan hiburan

  • Sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan melancong domestik
  • Pengecualian penuh ke atas duti hiburan untuk taman tema, pawagam, acara sukan dsb
  • Sehingga RM2,500 untuk pembelian buku atau langganan akhbar dan majalah, secara fizikal dan dalam talian
  • Sehingga RM2,500 untuk langganan gim atau pembelian peralatan sukan

Teknologi

  • Sehingga RM2,500 untuk pembelian telefon bimbit, komputer riba, tablet dan peranti seumpamanya
  • Sehingga RM2,500 untuk langganan internet

Kesihatan dan kesejahteraan

  • Sehingga RM1,000 untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh
  • Sehingga RM1,000 untuk vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak
  • Sehingga RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan dan penjagaan ibu bapa

Anda boleh menuntut perkara di atas untuk perbelanjaan yang dibuat pada atau sebelum 31 Disember 2021 sahaja. Sila rujuk link ini untuk senarai penuh pelepasan cukai 2021.

Bagaimanakah cara untuk memfailkan penyata cukai?

Bagaimana untuk daftar melalui e-Daftar

Jika ini kali pertama anda memfailkan penyata cukai, anda perlu mendaftar dengan LHDN terlebih dahulu. Jika anda bercadang untuk melakukan ini secara manual, anda boleh lawati cawangan LHDN dan pegawai bertugas akan membimbing anda dengan sewajarnya. Ikuti langkah di bawah sekiranya anda ingin memfailkan cukai secara dalam talian.

Langkah 1: Lawati pautan e-Daftar ini dan isi semua informasi yang diperlukan. Jika anda terlupa atau tidak pasti, klik pada bahagian 'Semak No. Cukai Pendapatan Anda Terlebih Dahulu' untuk memastikan anda belum pernah mendaftar sebelum ini.

guide-income-tax-2022-02

Langkah 2: Semak semula semua maklumat yang telah diisi dan klik 'Hantar'.

Nota: Sila lampirkan dokumen yang diperlukan seperti salinan MyKad dalam tempoh 14 hari dari permohonan. Selepas 14 hari, anda perlu membuat permohonan yang baharu.

Langkah 3: Anda kemudian akan melihat halaman dengan nombor rujukan cukai dan cawangan LHDN. Pastikan anda simpan informasi tersebut. Mesej yang menyatakan bahawa permohonan anda telah diterima akan dipaparkan. Anda akan menerima e-mel pengesahan berdaftar dan nombor cukai daripada LHDN.

Setelah selesai proses mendaftar dengan LHDN, kini anda perlukan PIN.

Bagaimana untuk mendapatkan PIN daripada LHDN?

Anda boleh mendapatkan PIN di cawangan LHDN atau secara dalam talian. Jika anda ingin mendapatkannya secara dalam talian, layari laman web LHDN Maklum Balas Pelanggan

Langkah 1: Klik pada ‘Permohonan’


Langkah 2: Klik pada 'Permohonan Nombor PIN e-Filing' di sebelah kiri, dan kemudian klik pada 'Borang CP55D'



Langkah 3: Muat turun salinan borang dan isikan butiran anda

Langkah 4: Kembali ke halaman sebelumnya dan klik pada 'Seterusnya'.

Langkah 5: Isi butiran yang diperlukan dan lampirkan Borang CP55D anda. Klik ‘Hantar' apabila selesai. Anda akan menerima PIN daripada LHDN dalam masa seminggu.

Bagaimana untuk log masuk ezHasil anda?

Sistem e-Filing boleh diakses di portal rasmi ezHasil. Klik di sini untuk mula.

Nota: Sediakan borang EA anda. Borang EA akan disediakan oleh majikan dan ia mengandungi butiran tentang jumlah pendapatan yang anda perlu isytiharkan sebagai pekerja. Setiap syarikat akan mengeluarkan borang EA yang berasingan, jadi jika anda telah bekerja untuk lebih daripada satu syarikat dalam satu tahun, anda perlu mempunyai borang EA untuk setiap syarikat tersebut. Kami akan menunjukkan kepada anda cara mengisi borang cukai jika anda mempunyai lebih daripada satu borang EA menerusi panduan ini.

Langkah 1: Untuk pengguna ezHasil kali pertama, anda perlu klik pada 'Login Kali Pertama'

Langkah 2: Masukkan PIN daripada LHDN dan nombor kad pengenalan

Anda kemudiannya perlu mengisi borang ringkas dengan butiran anda dan kata laluan baharu. Semak semula maklumat anda dan klik 'Hantar'. Kembali ke halaman masuk ezHasil untuk mula memfailkan penyata cukai anda.

Nota: Semasa anda log masuk, pastikan frasa keselamatan anda betul.

Bagaimana untuk mengisytiharkan cukai anda menggunakan ezHasil?

Langkah 1: Setelah log masuk, klik pada 'e-Borang' di bawah 'e-Filing'.

Langkah 2: Di bawah ‘e-BE’, pilih Tahun Taksiran

Langkah 3: Sahkan butiran anda pada halaman seterusnya dan klik 'Seterusnya'.

Langkah 4: Sahkan butiran anda yang lain dan lengkapkan mana-mana yang berkenaan dengan anda.
Jika anda tidak menjual sebarang hartanah pada tahun 2021, pilih ‘tidak’ di bawah ‘Melupuskan aset di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976’. Sekiranya ada menjual hartanah, pilih ‘Ya’ , kemudian pilih jawapan yang berkaitan di bahagian ‘Melaporkan pelupusan tersebut kepada LHDNM’ .
Pada bahagian berikutnya, anda boleh mengisytiharkan sebarang insentif istimewa yang telah diterima. Contohnya: hadiah wang yang dimenangi sebagai atlet profesional, pencen diberikan kepada hakim, atau insentif yang diberikan kepada juruterbang/krew kabin Malaysia Airlines.

Anda boleh melihat senarai penuh di sini.

Langkah 5: Anda boleh mengisytiharkan semua pendapatan yang anda perolehi pada tahun sebelumnya pada bahagian ini. Sekiranya anda telah bekerja untuk lebih daripada satu majikan, masukkan bilangan syarikat yang anda pernah bekerja dalam lajur 'Bilangan penggajian'. Masukkan jumlah pendapatan yang anda terima daripada syarikat-syarikat yang pernah anda kerja selepas potongan KWSP dalam ruangan ‘Pendapatan berkanun penggajian’.

Langkah 6: Pada halaman ini, anda boleh menuntut pelepasan dan pengecualian yang kami nyatakan diatas. Anda boleh merujuk bahagian itu untuk melihat perkara yang boleh anda tuntut tahun ini. Bahagian ini akan menunjukkan jumlah maksimum yang boleh anda tuntut untuk setiap item. Pastikan anda memasukkan jumlah tepat yang anda belanjakan dan hanya menuntut perkara yang berkenaan dengan anda.


Langkah 7: Anda akan dapat melihat ringkasan jumlah pendapatan yang anda isytiharkan, semua pelepasan dan pengecualian yang anda tuntut dan jumlah cukai yang akan anda bayar. Klik 'Seterusnya' selepas mengesahkan butiran.

Langkah 8: Ini adalah langkah terakhir. Setelah anda pasti semua maklumat yang anda masukkan adalah betul, klik 'Tandatangan dan Hantar'. Tahniah, anda baru sahaja berjaya memfailkan penyata cukai anda! Anda boleh memuat turun salinan e-Borang anda untuk rujukan anda.

Sumber: Ez.hasil.gov.my

Bolehkah saya meminda borang cukai jika saya membuat kesilapan?

Baru tersedar anda telah mengisytiharkan jumlah yang salah hanya selepas anda menghantar borang anda? Jangan risau kerana anda boleh membetulkannya. Walau bagaimanapun, cara anda boleh membuat perubahan ini bergantung pada sama ada anda mengisi borang anda dalam talian atau secara manual, atau sama ada anda memindanya sebelum atau selepas tarikh akhir penyerahan.

Pindaan secara dalam talian:

Log masuk ke ezHasil dan klik pada 'e-Permohonan untuk Pindaan BE' dan ikut arahan yang ditunjukkan.

Pindaan secara manual:

Bagi pindaan yang dibuat sebelum tarikh penyerahan, anda hanya perlu mengemukakan surat yang menerangkan apakah perubahan tersebut berserta bukti berkaitan seperti resit, bil dan sebagainya.

Untuk pindaan yang dibuat selepas tarikh akhir, anda mesti membuatnya dalam tempoh 6 bulan dari tarikh akhir tersebut dengan mengisi Borang Nyata Terpinda. Ini boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui cawangan LHDN yang menyimpan fail cukai anda.

Menurut laman web LHDN, anda boleh menggunakan Borang Nyata Pindaan untuk membuat perubahan pada borang cukai anda untuk perkara berikut:

  • Pendapatan di bawah diisytiharkan / tidak diisytiharkan
  • Perbelanjaan / tuntutan lain atas tuntutan
  • Elaun modal / insentif / pelepasan ke atas tuntutan

Untuk jenis pindaan lain, Borang Nyata Terpinda tidak diperlukan dan anda boleh menyerahkan surat dengan bukti perubahan anda, sama seperti pindaan yang dibuat sebelum tarikh penyerahan.


Bonus: Tips penting sebelum memfailkan penyata cukai anda

Ambil perhatian tarikh akhir e-filling LHDN 2021

Jika anda seorang yang sangat sibuk, atau ini merupakan kali pertama anda perlu memfailkan cukai, anda mungkin akan terlupa untuk mengisi borang LHDN  tepat pada masanya. Sila ambil perhatian bahawa tarikh akhir untuk failkan cukai ialah 30 April 2022 dan tambahan masa 15 hari untuk e-Filing.

Simpan semua resit anda

Apabila menuntut pengecualian dan pelepasan, pastikan anda mempunyai bukti yang diperlukan untuk membuat tuntutan tersebut. Contohnya, jika anda telah membelanjakan RM2,000 untuk membeli komputer riba baharu dan ingin menuntut ini, simpan resit pembelian tersebut sebagai bukti. Di bawah Seksyen 82A Akta Cukai Pendapatan 1967, anda dikehendaki menyimpan bukti/dokumen tersebut sehingga 7 tahun dari akhir tahun taksiran.

Jujur dan teliti semasa mengisi borang

Pastikan anda memasukkan jumlah pendapatan dan pengecualian yang betul. Di bawah Seksyen 114 Akta yang disebutkan di atas, sesiapa yang memalsukan catatan pada borang cukai boleh “dihukum denda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kepada kedua-duanya”. Mereka juga perlu membayar 3 kali ganda jumlah cukai yang kurang dicaj sebagai penalti.

Anda hanya akan dihukum di bawah Seksyen ini jika anda dengan sengaja mengisytiharkan jumlah yang salah. Jika anda membuat kesilapan yang sebenar, anda boleh meminda borang cukai seperti yang kami nyatakan sebelum ini. Walau bagaimanapun, pastikan anda teliti dan semak semula semua bahagian sebelum menghantar borang anda.

Kami harap artikel ini boleh menyelesaikan sebarang keraguan mengenai pemfailan cukai anda. Anda masih mempunyai banyak masa untuk memfailkan cukai anda namun kami sarankan supaya anda tidak menunggu sehingga saat akhir.

The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals