Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan Individu 2021

  • By CompareHero.my
  • March 30, 2022

Setiap tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyediakan senarai pelepasan cukai supaya rakyat boleh menuntut perkara-perkara yang tersenarai semasa mereka memfailkan cukai pendapatan mereka.

Senarai pelepasan cukai ini juga boleh berubah mengikut pengumuman dari pihak kerajaan. Contohnya untuk mengalakkan rakyat melancong dalam negara bagi membangunkan semula industri pelancongan negara kita yang terjejas teruk kerana wabak COVID-19, kerajaan memberi pelepasan sehingga RM1,000 untuk tempoh tertentu.

Sebelum kita ke senarai ringkas pelepasan cukai untuk tahun taksiran 2021, jom kita huraikan beberapa komponen yang boleh dituntut semasa memfailkan cukai pendapatan.

Individu dan Keluarga

Pekerja yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM4,000 . Ini bukan sahaja khusus untuk mereka yang makan gaji.  Buat yang bekerja sambilan atau bebas yang mencarum KWSP, anda juga berhak mendapat pengecualian cukai yang sama.

Selain itu, pada tahun lalu dalam usaha membantu industri automotif, kerajaan telah mengecualikan cukai jualan ke atas kenderaan baharu. Pengecualian ini hanyalah untuk untuk kenderaan penumpang sahaja.

Kerjaan juga akan memberikan pengecualian 100% ke atas duti import dan eksais, cukai jualan dan cukai jalan bagi kenderaan elektrik.

Buat ibu bapa yang perlu kembali ke pejabat pula, setelah bekerja dari rumah selama hampir dua tahun anda pasti bimbang tentang kos tadika dan taska yang mahal. Anda tidak perlu gusar kerana anda boleh menuntut sehingga RM3,000 untuk yuran tadika dan taska.

Gaya hidup dan hiburan

Semasa memfailkan cukai pendapatan, jangan lupa untuk menuntut beberapa perkara penting dibawah kategori gaya hidup dan hiburan contohnya seperti cukai pelancongan domestik, belian buku dan peralatan sukan.

Sekiranya anda telah melancong dalam negara sepanjang tahun taksiran 2021, anda boleh menuntut pengecualian cukai sehingga RM1,000. Pelepasan khas bagi perbelanjaan pelancongan domestik juga telah dilanjutkan lagi sehingga 2022, jadi pastikan anda manfaatkan sepenuhnya pelepasan ini.

Anda juga berhak mendapat pengecualian penuh ke atas duti hiburan untuk taman tema, pawagam, acara sukan dan seumpamanya.

Selain itu, nikmati rebat cukai sehingga RM2,500 apabila anda membeli buku atau melanggan surat khabar dan majalah. Ini termasuk untuk bahan yang dilanggan dalam talian. Pastikan anda menyimpan resit untuk kesemuanya.

Anda juga boleh menuntut rebat yang sama sebanyak RM2,500 untuk mana-mana keahlian gim atau peralatan sukan yang anda beli.

Teknologi

Sekiranya anda ada membeli komputer riba baharu, telefon mudah alih, tablet atau peranti lain yang serupa. tahun ini, anda boleh menuntutnya pelepasan cukai sehingga RM2,500.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mendapatkan pelepasan cukai untuk langganan internet sehingga RM2,500 juga.

Kesihatan dan kesejahteraan

Harga untuk pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh sangat mahal namun ia penting untuk memastikan anda berada dalam keadaan sihat dan ia juga boleh mencegah penyakit berbahaya. Namun anda tidak perlu risau kerana anda boleh mendapat rebat sehingga RM1,000 daripada cukai pendapatan anda.

Suntikan-suntikan lain yang bertujuan untuk meningkatkan imuniti diri juga boleh mendapat potongan sehingga RM1,000. 

Buat yang menanggung perbelanjaan perubatan seperti ubatan, penjagaan kejururawatan, peralatan kesihatan untuk ibu bapa, anda boleh mendapat potongan sebanyak RM8,000 maksimum.

Berikut merupakan senarai ringkas mengenai pelepasan cukai pendapatan yang boleh dituntut. 

Senarai ringkas pelepasan cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2021

Individu dan keluarga

  • RM9,000 untuk individu dan saudara tanggungan

  • Sehingga RM4,000 bagi mereka yang mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk pekerja bebas dan sambilan

  • Sehingga RM3,000 untuk yuran tadika dan taska

Gaya hidup dan hiburan

  • Sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan melancong domestik

  • Pengecualian penuh ke atas duti hiburan untuk taman tema, pawagam, acara sukan dsb

  • Sehingga RM2,500 untuk pembelian buku atau langganan akhbar dan majalah, secara fizikal dan dalam talian

  • Sehingga RM2,500 untuk langganan gim atau pembelian peralatan sukan

Teknologi

  • Sehingga RM2,500 untuk pembelian telefon bimbit, komputer riba, tablet dan peranti seumpamanya

  • Sehingga RM2,500 untuk langganan internet

Kesihatan dan kesejahteraan

  • Sehingga RM1,000 untuk pemeriksaan kesihatan menyeluruh

  • Sehingga RM1,000 untuk vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak

  • Sehingga RM8,000 untuk perbelanjaan perubatan dan penjagaan ibu bapa

Anda boleh menuntut perkara di atas untuk perbelanjaan yang dibuat pada atau sebelum 31 Disember 2021 sahaja. Untuk maklumat terperinci mengenai pelepasan cukai, anda boleh rujuk link ini.

Read More

Kesan Skor Kredit Rendah Dan Cara Memperbaikinya

  • By CompareHero.my
  • March 29, 2022

Ramai yang tidak tahu mengenai skor kredit mereka sehinggalah mereka perlu membuat pinjaman daripada bank untuk membeli rumah, kereta dan sebagainya. Skor kredit merupakan antara perkara penting yang dinilai oleh pihak bank sebelum meluluskannya apa-apa pinjaman anda. Sebelum kita huraikan bagaimana skor kredit boleh mempengaruhi kehidupan kita, jom kita fahami dahulu apakah skor kredit.

Apakah skor kredit?

Skor kredit merupakan suatu cara atau sistem yang digunakan oleh pihak bank berdasarkan sejarah kewangan anda untuk menentukan sama ada anda layak untuk menerima pinjaman atau tidak dan adakah anda akan membayar balik pinjaman tepat pada masanya ataupun tidak.

Mempunyai skor kredit yang tinggi pasti akan memudahkan urusan anda dengan pihak bank kerana pihak bank akan lebih yakin untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan anda. Skor kredit yang rendah pula boleh menyebabkan permohonan pinjaman ditolak.

Dari sudut kewangan, nilai kredit skor sangat penting dan akan sentiasa mempengaruhi kehidupan anda. Jadi amat penting untuk anda pastikan skor kredit anda tinggi.

Rajah dibawah menunjukan penilaian skor kredit.

 

Untuk pengetahuan anda, CTOS merupakan salah satu daripada tiga Agensi Pelaporan Kredit utama yang ditadbir di bawah Akta CRA 2010. Mereka juga berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit. 

Pemberian pinjaman bermakna anda akan berhutang dengan institusi kewangan dan mereka tidak boleh memberi pinjaman tanpa membuat sebarang penilaian menyeluruh terhadap status kewangan anda terlebih dahulu. 

Untuk menyemak status kewangan anda, bank akan menyemak skor kredit. Seperti yang dinyatakan di atas, lebih tinggi skor kredit anda lebih cerah peluang untuk mendapatkan kelulusan permohonan pembiayaan dan sebaliknya.

Berikut merupakan bagaimana skor kredit yang rendah boleh mempengaruhi kehidupan anda serta cara untuk memperbaikinya supaya institusi kewangan kembali mempercayai anda dan akan meluluskan sebarang pinjaman kewangan pada masa akan datang.

Bagaimana skor kredit yang rendah boleh mempengaruhi kehidupan anda

Sukar untuk mendapatkan kelulusan pinjaman bank

Jika anda berhasrat untuk membuat pembelian rumah pertama di kemudian hari, pastikan anda mempunyai skor kredit yang tinggi atau mula membina skor kredit dari sekarang kerana skor yang rendah boleh menjejaskan peluang anda untuk mendapatkan apa-apa pinjaman kewangan.

Anda mungkin perlu membayar lebih untuk pinjaman anda

Dalam beberapa situasi, skor yang kurang baik juga berpeluang untuk mendapatkan pinjaman. Namun anda mungkin tidak akan berpeluang untuk mendapat kadar yang kompetitif atau menguntungkan.

Walaupun pinjaman anda telah diluluskan, anda mungkin akan ditawarkan margin pembiayaan yang lebih rendah dengan kadar faedah yang lebih tinggi jika skor kredit anda rendah.

Anda berpotensi mengalami kesukaran mendapatkan pekerjaan

Sesetengah majikan akan menyemak skor kredit bakal pekerja sebagai sebahagian daripada semakan latar belakang mereka semasa proses pengambilan pekerja. Perkara seperti muflis dan kecenderungan mengumpul hutang yang besar boleh menyebabkan anda tidak mendapat pekerjaan idaman anda.

Semakan latar belakang kewangan adalah perkara biasa terutamanya dikalangan syarikat senarai awam dan multinasional, serta jawatan berkaitan kerajaan yang banyak terlibat dengan wang tunai, kewangan korporat dan akaun bank, akaun dan data pelanggan serta perisian IT kewangan dan sistem.

Oleh itu sangat penting untuk anda mengekalkan skor kredit yang baik untuk mengelakkannya perkara di atas terjadi kepada anda.

Berikut ialah panduan ringkas tentang cara meningkatkan skor kredit anda!

Kemas kini maklumat peribadi

Ia mungkin kedengaran mudah, tetapi mengemaskini maklumat peribadi anda, seperti alamat kediaman yang lapuk boleh membuat perubahan, jadi semak dan pastikan agensi pelaporan kredit mempunyai butiran terkini anda.

Dapatkan kad kredit

Antara cara untuk membina skor kredit yang baik ialah dengan mendapatkan kad kredit. Namun tips ini hanya untuk perkara kecil seperti barangan runcit, minyak kereta yang mana anda perlu membayarnya secara konsisten setiap bulan. Ini akan meningkatkan skor kredit anda dalam masa yang singkat!

Bayar bil dan hutang tepat pada masanya

Memandangkan sejarah pembayaran anda membentuk 45% daripada skor anda, berusahalah untuk membayar bil dan hutang anda tepat pada masanya. Anda tidak perlu membayar hutang sekaligus namun membayarnya secara konsisten setiap bulan pasti akan memberi manfaat kepada anda. 

Semak tabiat pembayaran balik mereka yang mempunyai kaitan dengan kewangan anda

Adakah anda pernah bersetuju untuk menjadi penjamin seseorang? Adakah anda berkongsi bil dengan orang lain? Adakah anda mempunyai kad kredit tambahan? Berhati-hati dengan mereka yang mempunyai kaitan kewangan dengan anda kerana tabiat pembayaran balik mereka yang lemah boleh menjejaskan skor kredit anda.

Kesimpulan

Mengetahui skor kredit anda boleh memberikan gambaran yang jelas tentang perkara yang anda mampu dan tidak mampu. Oleh itu, kami menasihati anda untuk menyemak skor kredit anda dan sentiasa merancang lebih awal terutama sekiranya anda ingin membuat pinjaman yang melibatkan jumlah yang besar.

Untuk membantu rakyat Malaysia memahami kewangan mereka dengan lebih baik, CompareHero akan memberikan 5,000 penilaian skor kredit PERCUMA setiap bulan!

Read More

Adakah freelancer juga perlu memfailkan cukai pendapatan?

  • By CompareHero.my
  • March 28, 2022

Buat anda yang bekerja secara bebas atau lebih dikenali sebagai freelancer, musim cukai merupakan musim yang mendebarkan. Maklumlah pendapatan freelancer bukan seperti mereka yang bekerja tetap yang mana gaji pasti akan masuk pada tarikh yang tetap setiap bulan. Pendapatan freelancer pula dibayar mengikut servis yang disediakan. Sekiranya bulan ini ada yang menggunakan servis anda maka anda akan dibayar dan sebaliknya.

Bagaimana untuk menentukan pekerjaan itu dibawah kategori freelance?

Sebelum menjawab persoalan utama sama ada freelancer perlu memfailkan cukai atau tidak, jom kita fahami definisi freelancer atau bekerja sendiri. Menurut Bank Dunia, jika bayaran anda bergantung secara langsung kepada keuntungan yang diperoleh daripada barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan maka anda dikategorikan sebagai bekerja sendiri.

Memandangkan banyak aktiviti ekonomi bergantung kepada teknologi, kebanyakan freelancer hari ini juga menyediakan servis untuk perniagaan atas talian atau perniagaan digital. Berdasarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), perniagaan digital merujuk kepada aktiviti ekonomi bedasarkan penggunaan teknologi digital. Berikut merupakan contoh aktiviti perniagaan digital:

freelancer-cukai-pendapatan-table
Sumber: LHDN

Siapa yang perlu memfailkan cukai pendapatan?

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), individu yang berpendapatan melebihi RM34,000 setahun selepas potongan KWSP perlu memfailkan cukai. Mereka yang gagal berbuat demikian boleh menghadapi tindakan undang-undang, jadi pastikan anda lakukan bahagian anda dengan mengisytiharkan pendapatan anda.

Amat penting untuk anda faham bahawa menfailkan penyata cukai dan membayar cukai merupakan dua perkara berbeza. Walaupun anda memfailkan penyata cukai belum tentu anda perlu membayar cukai.

LHDN juga menetapkan bahawa perniagaan yang dikenakan cukai termasuklah pemilikan tunggal/bekerja sendiri, individu yang menjalankan perniagaan sendiri, perkongsian – termasuk sebarang usaha perniagaan dua atau lebih individu yang menggabungkan pemilikan, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan.

Apakah perbezaan memfailkan cukai pendapatan antara freelancer dan pekerja makan gaji?

Sekiranya anda makan gaji, anda akan menerima dokumen yang dipanggil borang EA yang memperincikan jumlah pendapatan gaji serta jumlah caruman KWSP dan PERKESO anda untuk tahun tersebut. Borang ini penting semasa mengisi borang nyata kerana ia memberikan butiran ringkas yang anda perlukan untuk melengkapkan penyata cukai anda di link ini.

Untuk freelancer pula, memandangkan anda tidak mempunyai EA form, jadi anda perlu meneliti invois dan perbelanjaan anda sendiri. 

Apakah borang cukai yang harus digunakan oleh freelancer?

Jika anda belum mendaftarkan perkhidmatan atau servis anda sebagai perniagaan rasmi, anda harus menggunakan Borang BE, iaitu borang khusus untuk individu yang tidak memiliki perniagaan.

Sekiranya anda mempunyai syarikat berdaftar, anda perlu memfailkan cukai anda dengan Borang B.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai kepentingan setiap borang di pautan ini.

Sekarang anda pasti lebih jelas bahawa tidak kira apa sekalipun bentuk pendapatan yang anda perolehi, asalkan ia melebihi nilai ambang ditetapkan oleh LHDN, anda perlu memfailkan dan membayar cukai.

Berikut ialah cara untuk memudahkan anda memfailkan cukai pendapatan sebagai freelancer:

1. Manfaatkan pelepasan cukai

Untuk mengurangkan bayaran cukai pendapatan anda sebagai freelancer, anda harus fahami jenis-jenis pelepasan cukai yang layak dituntut. Rujuk pautan ini untuk senarai lengkap pelepasan cukai yang boleh dituntut untuk tahun 2021.

2. Upah perunding cukai

Ini juga merupakan salah satu pilihan sekiranya aktiviti freelance anda telah didaftarkan sebagai perniagaan. Perunding cukai akan membantu anda menuntut perbelanjaan perniagaan dan mendapatkan sebanyak mungkin potongan mengikut undang-undang.

3. Daftar perniagaan anda

Mempunyai perniagaan yang berdaftar dapat membina kredibiliti dan keterlihatan yang lebih baik dengan pelanggan, peluang yang lebih baik untuk mendapatkan pinjaman perniagaan,  kadar cukai yang lebih baik dan layak untuk menuntut perbelanjaan dan potongan perniagaan.

4. Hubungi LHDN

Jika anda masih tidak pasti atau ragu-ragu untuk memfailkan cukai pendapatan anda,dapatkan bantuan daripada pihak LHDN yang boleh menghuraikan semua kebimbangan cukai anda. 

Tidak dinafikan terdapat banyak ketidakpastian mengenai prosedur untuk freelancer memfailkan cukai jadi untuk tidak berteka teki, lebih baik anda terus hubungi LHDN.

5. Jangan memandang remeh terhadap tanggung jawab memfailkan cukai 

Jangan sekali-kali cuba mengelakkan dari memfailkan cukai atau tidak menjelaskan cukai kerana anda boleh dihukum dan didenda mengikut undang-undang. Pastikan juga anda tidak memalsukan catatan pada borang cukai kerana anda boleh- “dihukum denda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kepada kedua-duanya”. Pesalah juga perlu membayar 3 kali ganda jumlah cukai yang kurang dicaj sebagai penalti.

Read More

Cara Memfailkan Cukai Pendapatan Individu 2021

  • By CompareHero.my
  • March 25, 2022

Proses memfailkan cukai pendapatan akan menjadi mudah sekiranya anda faham mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memfailkannya. Ramai yang keliru tentang jenis borang, pengecualian dan peraturan yang berbeza berkenaan cukai, jadi jom kita fahami dan praktikkan cara memfailkan cukai pendapatan individu.

Cara Memfailkan Cukai Pendapatan Individu

Dapatkan nombor cukai pendapatan melalui eDaftar

Jika ini kali pertama anda memfailkan penyata cukai, anda perlu mendaftar dengan LHDN terlebih dahulu. Jika anda bercadang untuk melakukan ini secara manual, anda boleh lawati cawangan LHDN dan pegawai bertugas akan membimbing anda dengan sewajarnya. Ikuti langkah di bawah sekiranya anda ingin memfailkan cukai secara dalam talian.

Langkah 1: Lawati pautan e-Daftar ini dan isi semua informasi yang diperlukan. Jika anda terlupa atau tidak pasti, klik pada bahagian ‘Semak No. Cukai Pendapatan Anda Terlebih Dahulu’ untuk memastikan anda belum pernah mendaftar sebelum ini.

guide-income-tax-2022-02

Langkah 2: Semak semula semua maklumat yang telah diisi dan klik ‘Hantar’.

Nota: Sila lampirkan dokumen yang diperlukan seperti salinan MyKad dalam tempoh 14 hari dari permohonan. Selepas 14 hari, anda perlu membuat permohonan yang baharu.

Langkah 3: Anda kemudian akan melihat halaman dengan nombor rujukan cukai dan cawangan LHDN. Pastikan anda simpan informasi tersebut. Mesej yang menyatakan bahawa permohonan anda telah diterima akan dipaparkan. Anda akan menerima e-mel pengesahan berdaftar dan nombor cukai daripada LHDN.

Setelah selesai proses mendaftar dengan LHDN, kini anda perlukan PIN.

Dapatkan PIN daripada LHDN

Anda boleh mendapatkan PIN di cawangan LHDN atau secara dalam talian. Jika anda ingin mendapatkannya secara dalam talian, layari laman web LHDN Maklum Balas Pelanggan

Langkah 1: Klik pada ‘Permohonan’


Langkah 2: Klik pada ‘Permohonan Nombor PIN e-Filing’ di sebelah kiri, dan kemudian klik pada ‘Borang CP55D’



Langkah 3: Muat turun salinan borang dan isikan butiran anda

Langkah 4: Kembali ke halaman sebelumnya dan klik pada ‘Seterusnya’.

Langkah 5: Isi butiran yang diperlukan dan lampirkan Borang CP55D anda. Klik ‘Hantar’ apabila selesai. Anda akan menerima PIN daripada LHDN dalam masa seminggu.

Log masuk ezHasil anda

 

Sistem e-Filing boleh diakses di portal rasmi ezHasil. Klik di sini untuk mula.

Nota: Sediakan borang EA anda. Borang EA akan disediakan oleh majikan dan ia mengandungi butiran tentang jumlah pendapatan yang anda perlu isytiharkan sebagai pekerja. Setiap syarikat akan mengeluarkan borang EA yang berasingan, jadi jika anda telah bekerja untuk lebih daripada satu syarikat dalam satu tahun, anda perlu mempunyai borang EA untuk setiap syarikat tersebut. Kami akan menunjukkan kepada anda cara mengisi borang cukai jika anda mempunyai lebih daripada satu borang EA menerusi panduan ini.

Langkah 1: Untuk pengguna ezHasil kali pertama, anda perlu klik pada ‘Login Kali Pertama’

Langkah 2: Masukkan PIN daripada LHDN dan nombor kad pengenalan

Anda kemudiannya perlu mengisi borang ringkas dengan butiran anda dan kata laluan baharu. Semak semula maklumat anda dan klik ‘Hantar’. Kembali ke halaman masuk ezHasil untuk mula memfailkan penyata cukai anda.

Nota: Semasa anda log masuk, pastikan frasa keselamatan anda betul.

Isytiharkan cukai anda menggunakan ezHasil

Langkah 1: Setelah log masuk, klik pada ‘e-Borang’ di bawah ‘e-Filing’.

Langkah 2: Di bawah ‘e-BE’, pilih Tahun Taksiran

Langkah 3: Sahkan butiran anda pada halaman seterusnya dan klik ‘Seterusnya’.

Langkah 4: Sahkan butiran anda yang lain dan lengkapkan mana-mana yang berkenaan dengan anda.
Jika anda tidak menjual sebarang hartanah pada tahun 2021, pilih ‘tidak’ di bawah ‘Melupuskan aset di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976’. Sekiranya ada menjual hartanah, pilih ‘Ya’ , kemudian pilih jawapan yang berkaitan di bahagian ‘Melaporkan pelupusan tersebut kepada LHDNM’ .
Pada bahagian berikutnya, anda boleh mengisytiharkan sebarang insentif istimewa yang telah diterima. Contohnya: hadiah wang yang dimenangi sebagai atlet profesional, pencen diberikan kepada hakim, atau insentif yang diberikan kepada juruterbang/krew kabin Malaysia Airlines.

Anda boleh melihat senarai penuh di sini.

Langkah 5: Anda boleh mengisytiharkan semua pendapatan yang anda perolehi pada tahun sebelumnya pada bahagian ini. Sekiranya anda telah bekerja untuk lebih daripada satu majikan, masukkan bilangan syarikat yang anda pernah bekerja dalam lajur ‘Bilangan penggajian’. Masukkan jumlah pendapatan yang anda terima daripada syarikat-syarikat yang pernah anda kerja selepas potongan KWSP dalam ruangan ‘Pendapatan berkanun penggajian’.

Langkah 6: Pada halaman ini, anda boleh menuntut pelepasan dan pengecualian yang kami nyatakan diatas. Anda boleh merujuk bahagian itu untuk melihat perkara yang boleh anda tuntut tahun ini. Bahagian ini akan menunjukkan jumlah maksimum yang boleh anda tuntut untuk setiap item. Pastikan anda memasukkan jumlah tepat yang anda belanjakan dan hanya menuntut perkara yang berkenaan dengan anda.


Langkah 7: Anda akan dapat melihat ringkasan jumlah pendapatan yang anda isytiharkan, semua pelepasan dan pengecualian yang anda tuntut dan jumlah cukai yang akan anda bayar. Klik ‘Seterusnya’ selepas mengesahkan butiran.

Langkah 8: Ini adalah langkah terakhir. Setelah anda pasti semua maklumat yang anda masukkan adalah betul, klik ‘Tandatangan dan Hantar’. Tahniah, anda baru sahaja berjaya memfailkan penyata cukai anda! Anda boleh memuat turun salinan e-Borang anda untuk rujukan anda.

Sumber: Ez.hasil.gov.my

Bolehkah saya meminda borang cukai jika saya membuat kesilapan?

Baru tersedar anda telah mengisytiharkan jumlah yang salah hanya selepas anda menghantar borang anda? Jangan risau kerana anda boleh membetulkannya. Walau bagaimanapun, cara anda boleh membuat perubahan ini bergantung pada sama ada anda mengisi borang anda dalam talian atau secara manual, atau sama ada anda memindanya sebelum atau selepas tarikh akhir penyerahan.

Pindaan secara dalam talian:

Log masuk ke ezHasil dan klik pada ‘e-Permohonan untuk Pindaan BE’ dan ikut arahan yang ditunjukkan.

Pindaan secara manual:

Bagi pindaan yang dibuat sebelum tarikh penyerahan, anda hanya perlu mengemukakan surat yang menerangkan apakah perubahan tersebut berserta bukti berkaitan seperti resit, bil dan sebagainya.

Untuk pindaan yang dibuat selepas tarikh akhir, anda mesti membuatnya dalam tempoh 6 bulan dari tarikh akhir tersebut dengan mengisi Borang Nyata Terpinda. Ini boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui cawangan LHDN yang menyimpan fail cukai anda.

Menurut laman web LHDN, anda boleh menggunakan Borang Nyata Pindaan untuk membuat perubahan pada borang cukai anda untuk perkara berikut:

  • Pendapatan di bawah diisytiharkan / tidak diisytiharkan
  • Perbelanjaan / tuntutan lain atas tuntutan
  • Elaun modal / insentif / pelepasan ke atas tuntutan

Untuk jenis pindaan lain, Borang Nyata Terpinda tidak diperlukan dan anda boleh menyerahkan surat dengan bukti perubahan anda, sama seperti pindaan yang dibuat sebelum tarikh penyerahan.

Panduan ini bertujuan untuk memberi penjelasan tentang cara memfailkan pendapatan individu tambahan lagi sekiranya ia merupakan kali pertama anda memfailkannya. Pastikan anda sentiasa peka dengan sebarang pengumuman mengenai cukai serta tarikh akhir memfailkan cukai pendapatan. 

Read More

Indeks Harga Pengguna Februari meningkat sebanyak 2.2% peratus

  • By CompareHero.my

Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi telah meningkat sebanyak 2.2 peratus bagi Februari 2022 berbanding bulan yang sama pada tahun 2021. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini susulan daripada kenaikan inflasi makanan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin sahkan kenaikan itu telah melepasi purata inflasi bagi  tahun 2011 hingga Februari 2022 iaitu 1.9 peratus.“Kenaikan inflasi makanan yang merupakan penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP, terus menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi negara.

“Peningkatan 3.7 peratus bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol terutamanya disebabkan oleh kenaikan ketara komponen makanan di rumah yang meningkat 4.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peningkatan ini juga berpunca dari bahan mentah bagi penyediaan makanan seperti ayam (14.2 peratus) dan telur (13.5 peratus).

Makanan di luar rumah juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding 3.1 peratus pada Januari 2022.

Peningkatan inflasi ini turut didorong oleh kenaikan dalam kumpulan pengangkutan (3.9 peratus) , makanan dan minuman bukan alkohol (3.7 peratus). Diikuti dengan perkakasan dan penyelenggaran isi rumah (3.2 peratus), restoran dan hotel (0.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.3 peratus).

Mohd Uzir juga berkata untuk kumpulan pendapatan di bawah RM3,000, inflasi meningkat sebanyak 2.4 peratus pada Februari 2022 berbanding Februari tahun sebelumnya.

Inflasi merupakan pengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan. Ini tidak termasuk makanan segar yang harganya tidak menentu dan juga barangan kawalan oleh kerajaan.

Sumber: Bernama

Read More