Kos sebanyak RM7,800 ditetapkan untuk pengambilan pekerja domestik Indonesia

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 23 March, 2022

Pihak Malaysia akan menanggung kos sebanyak RM6,000 manakala Indonesia RM1,800  menjadikan jumlah keseluruhan kos pengambilan pekerja domestik dari negara jiran itu berjumlah RM7,800.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata kos itu ditetapkan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia.

"Untuk makluman, MoU ini telah menetapkan kos (pengambilan pekerja domestik Indonesia) iaitu RM7,800...jadi kalau ada satu caj atau bayaran yang melebihi seperti (kos) ini boleh buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berkata pewujudan MoU berhubung penggajian pekerja asing dengan pihak negara sumber amat penting bagi mencegah rasuah dan eksploitasi kemasukan pekerja migran ke negara ini serta bertujuan memberi perlindungan sewajarnya dari segi hak dan kebajikan pekerja serta menjaga kepentingan majikan.

"Hanya Agensi Pekerjaan Swasta yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) dibenarkan membantu majikan menguruskan segala urusan penempatan pekerja asing di negara ini," katanya.

Sumber: Bernama

The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.