Subscription Modal Banner
Weekly newsletter subscription
Get CompareHero’s top tips and deals, plus an exclusive free guide to investing, sent straight to your inbox.

I agree to the terms and conditions and agree to receive relevant marketing content according to the privacy policy.

Success Tick Icon
Congratulations on successfully joining CompareHero Newsletter

Urus Hutang Anda Secara Percuma Bersama AKPK

CompareHero.my Team

CompareHero.my Team

Last updated 18 January, 2021

Hutang boleh menjadi satu beban jika anda membuat pinjaman lebih yang daripada kemampuan kewangan anda. Sekiranya anda menghadapi masalah kewangan seperti ini, anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Baca artikel ini untuk ketahui maklumat lebih lanjut mengenai agensi ini.



Artikel ini pertama kali diterbitkan pada bulan Ogos 2019 dan telah diperbaharui dengan maklumat terkini.

Anda terbeban dengan hutang pinjaman peribadi atau kad kredit, dan risau tidak mampu untuk melangsaikan kesemuanya? Atau anda ingin memastikan permohonan pinjaman berjaya? Ketahui bagaimana AKPK boleh membantu anda untuk menguruskan hutang dan memberikan nasihat kewangan secara percuma!

AKPK dapat membantu anda untuk menguruskan hutang dengan lebih cermat. Mereka merupakan sumber yang baik bagi rakyat Malaysia yang terbeban dengan hutang dan bimbang tidak dapat melunaskannya. 

Untuk memahami perkhidmatan yang disediakan di AKPK, CompareHero.my menemubual Nirmala Supramaniam, Ketua Pembangunan Unit Modul di AKPK untuk mendapatkan penerangan yang lebih baik.

Apa itu AKPK?

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2006 sebagai sebahagian dari Rangka Kerja Perlindungan Pengguna dibawah Pelan Induk Sektor Kewangan BNM.

"AKPK membantu individu untuk mengawal kewangan mereka dan bantu memberi pandangan penggunaan kredit secara bijak," kata Nirmala Supramaniam, Ketua Pembangunan Unit Modul di AKPK, kepada CompareHero.my.

Berikut adalah tiga perkhidmatan utama yang ditawarkan oleh AKPK:

  • Pendidikan kewangan mengenai penggunaan wang dan kemahiran pengurusan kredit yang bertanggungjawab.
  • Kaunseling dan nasihat mengenai pengurusan kewangan.
  • Program pengurusan hutang untuk membantu pengguna mendapatkan semula kawalan kewangan.

“Salah satu skema terbaru kami ialah Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS), mulai 1 September. Ia merupakan sesuatu yang baru bagi kami tahun ini,” kata Nirmala. "Secara keseluruhan, AKPK mempunyai dua peranan utama: untuk membantu isi rumah dan membantu perniagaan."

Sejauh manakah rakyat Malaysia menguruskan hutang mereka?

Statistik dari Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan bahawa lebih daripada 84,000 individu telah diisytiharkan muflis antara tahun 2015 dan 2019. Penggunaan kad kredit yang tidak terkawal dan pinjaman berlebihan telah menyebabkan ribuan rakyat Malaysia, yang kebanyakannya sudah berkahwin menjadi muflis. Penyebab utama kemuflisan ialah pinjaman peribadi (32.07%), sewa beli (21.53%), pinjaman perumahan (12.57%), pinjaman perniagaan (10.15%) dan kad kredit (10%).

Menurut tinjauan yang telah dilakukan oleh AKPK mengenai Tingkah Laku Kewangan dan Kesejahteraan Kewangan Dewasa Bekerja di Malaysia pada tahun 2018, separuh daripada rakyat Malaysia mengaku menghadapi kesukaran untuk mengumpul RM1,000 untuk kegunaan kecemasan. Satu daripada lima dewasa yang bekerja mengatakan bahawa mereka tidak menabung dalam enam bulan terakhir dan hampir tiga daripada 10 individu terpaksa meminjam wang untuk membeli keperluan asas.

Berkaitan: Perbezaan Antara Hutang Baik dan Hutang Buruk

Dalam satu acara sempena ulang tahun ke-10 AKPK, Encik Azaddin Ngah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK menyatakan yang hutang-hutang utama yang membebani rakyat Malaysia ialah hutang kad kredit dan hutang pinjaman peribadi. Kesan bebanan hutang ini bertambah buruk akibat kegagalan pengurusan kewangan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kelompok terbesar yang dibebani hutang ialah dari mereka yang berusia 30-50 tahun dan dengan pendapatan dibawah RM5,000. Dari statistik mereka yang mendapatkan bantuan AKPK pula, 70% dari mereka merupakan pengguna kad kredit dengan hutang yang besar.

Azaddin turut menegaskan, “Jika anda tahu menggunakan kad kredit dan mengambil kesempatan dengan promosi yang diiklankan, ianya tidak menjadi masalah. Sebagai contoh, sesetengah restoran menawarkan diskaun sehingga 50% untuk set makan malam dengan pembayaran menggunakan kad kredit. Jika anda gunakan kad kredit, dan bayar semua baki tertunggak tepat pada masanya, tiada isu akan timbul.”

Bagaimana AKPK boleh membantu anda?

Walaupun perkhidmatan utama AKPK asalnya merupakan pengurusan hutang, AKPK juga menyediakan sesi pendidikan kewangan dan kaunseling kewangan kepada rakyat Malaysia.

PERINGATAN: Jika ada individu yang mendakwa mereka merupakan ejen pihak ketiga dari AKPK, berwaspadalah, terutamanya jika mereka meminta bayaran untuk servis, kerana AKPK tidak mengenakan caj konsultasi dan tidak melantik mana-mana ejen.

“Kami menawarkan kaunseling khususnya kepada mereka yang mengalami masalah hutang yang tinggi atau menghadapi masalah kewangan kerana hutang. Mereka yang berdaftar akan berjumpa dengan kaunselor kami dan kami akan memasukkan mereka ke dalam Program Pengurusan Hutang di mana kami akan berunding dengan pembiaya untuk mendapatkan rancangan pembayaran semula yang sesuai untuk peminjam,” kata Nirmala.

“Kami juga ingin mendidik dan memberi kesedaran mengenai topik-topik tertentu seperti mengapa anda harus menguruskan kewangan, apa yang harus anda ketahui sebelum mengambil pinjaman, apa yang harus anda ketahui ketika mula bekerja dan lain-lain lagi,”

AKPK memberi pendidikan merangkumi pelbagai tahap kehidupan seperti pasca pendidikan, pekerjaan dan pra-persaraan melalui bengkel, latihan dan modul. Beberapa topik juga akan disertakan kepada kumpulan tertentu seperti wanita.

Baru-baru ini AKPK ditugaskan untuk mengambil pengurusan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS), yang dibentuk untuk memberikan bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah pembiayaan melalui penstrukturan atau penjadualan pembiayaan yang dikawal oleh Bank Negara.

"Kami menggunakan kaedah yang sama dari Program Pengurusan Hutang ke SDRS di mana kami akan membantu perniagaan berunding dengan bank," kata Nirmala. "Kami masih akan menyokong perniagaan yang telah berhenti beroperasi, tetapi perniagaan berikut mestilah mempunyai pendapatan kerana mereka masih mempunyai perniagaan untuk dibayar. Kami juga sedang mengerjakan program pendidikan dan kesedaran untuk PKS."

Kelayakan untuk PKS adalah seperti berikut:

  1. Syarikat Malaysia (sekurang-kurangnya 51%) di semua sektor ekonomi.
  2. Memenuhi kriteria definisi PKS:
    • Bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200; atau
    • Perolehan jualan tahunan, tidak melebihi RM50 juta
  3. PKS menghadapi masalah kewangan dengan pembiayaan dari institusi kewangan.
  4. Hanya untuk pembiayaan yang berkaitan dengan perniagaan sahaja.

Apakah sokongan COVID-19 yang diberikan oleh AKPK?

AKPK telah menggunakan berbagai insentif pembayaran balik pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan sejak awal pandemi pada bulan Mac 2020. Ia bermula dari moratorium menyeluruh hingga peningkatan terbaru kepada Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar merujuk kepada bantuan yang menawarkan penangguhan pembayaran balik bulanan tiga bulan atau pengurangan pembayaran bulanan enam bulan sebanyak 50% tertakluk pada terma dan syarat. Ia merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelumnya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, dan untuk individu dan PKS yang pendapatannya terkesan.

Selama beberapa bulan terakhir, Nirmala mengatakan AKPK telah menawarkan rancangan bantuan pembayaran balik, terutama untuk golongan yang disasarkan. "Kami ingin terus mengingatkan setiap individu untuk mengambil tindakan cepat untuk mengelak mengkaji hutang mereka pada saat akhir. Kami juga tidak mahu orang menyalahgunakan dana yang ada kerana ini adalah masa yang sangat penting untuk pengurusan kewangan untuk jangka masa panjang," katanya.

Selain moratorium dan rancangan bantuan pembayaran balik, AKPK juga membantu mengenal pasti pelanggan yang memerlukan bantuan dengan menghubungi mereka yang berada di dalam pangkalan data mereka yang terkesan, dan menawarkan pakej bantuan pembayaran.

"Pihak bank hanya dapat membantu masalah kewangan anda secara individu. Jika ada pelanggan yang mempunyai banyak pinjaman dan terdapat individu lain dikeliling mereka yang terjejas dengan masalah ini, AKPK akan membantu dan melihat masalah hutang mereka secara menyeluruh,” kata Nirmala.

Apakah Meja Bantuan Perusahaan Mikro?

Meja Bantuan Perusahaan Mikro ialah inisiatif Bank Negara untuk membantu perusahaan mikro atau kecil untuk meminta bantuan pembayaran balik.

Selain menghubungi pihak bank, perusahaan mikro kini juga dapat meminta bantuan pembayaran pinjaman perniagaan mereka dengan bank melalui Meja Bantuan Perusahaan Mikro di AKPK.

Penasihat kewangan AKPK akan memberikan nasihat secara percuma mengenai bantuan pembayaran balik dan memudahkan perusahaan mikro untuk mengemukakan permintaan bantuan pembayaran balik kepada bank.

Perusahaan mikro boleh melayari laman web Micro-Enterprise atau hubungi Pusat Panggilan AKPK di talian 03-2616 7766 dari jam 9 pagi hingga 4 petang, pada hari Isnin hingga Jumaat, untuk membuat janji temu dengan penasihat kewangan AKPK.

Program Pengurusan Kredit (PPK)

Dibawah program ini, AKPK akan menyusun pelan pembayaran peribadi khusus untuk individu yang tidak mampu membuat bayaran bulanan kepada bank.

Individu akan menghadiri sesi satu sama satu dengan pegawai AKPK yang akan mengira komitmen kewangan mereka dan seterusnya mengaplikasikan komitmen tersebut kepada pelan penstrukturan yang akan mengambil masa 8-10 tahun untuk dibayar sepenuhnya.

“Individu yang menghadiri program kami akan berjumpa dengan kaunselor yang akan menyemak jumlah hutang mereka dan berusaha menyusun semula perancangan kewangan sebelum mencadangkannya kepada bank. Sekiranya bank menyetujui dengan rancangan itu, maka kami akan memindahkannya ke dalam program kami di mana kami akan pantau dengan rapat,” kata Nirmala.

Untuk gambaran yang lebih jelas:

"Jika seseorang mempunyai lima kad kredit dan berhutang sejumlah RM50,000, perkara pertama yang harus dia lakukan di bawah program AKPK adalah membatalkan kad kredit. Kad-kad tersebut akan ditukar menjadi pinjaman berjangka, dan jangka masa akan dipanjangkan dan pembayaran bulanan akan dikurangkan sesuai dengan seberapa banyak yang mampu dimiliki oleh individu tersebut, serta berdasarkan persetujuan institusi kewangan,” kata Nirmala.

"Peminjam kemudian diminta hanya melakukan satu pembayaran melalui AKPK, yang akan membahagikan pembayaran tersebut. Selepas itu, kami akan mengawasinya untuk memastikan segala proses berjalan dengan baik, ”tambahnya.

AKPK akan berunding dengan bank bagi pihak peminjam, dan selepas mencapai persetujuan antara peminjam dan bank, surat pengesahan PPK akan dikeluarkan oleh AKPK.

Syarat-syarat asas kelayakan untuk menyertai PPK ialah:

  • Tidak diisytiharkan muflis
  • Tidak berada di bawah tindakan undang-undang yang telah lanjut
  • Jumlah pinjaman anda tidak melebihi RM5 juta
  • Mempunyai sumber pendapatan yang positif

Baca lebih lanjut mengenai DMP di sini. Untuk menyertai program ini, anda boleh mengisi borang permohonan ‘online’ untuk Program Pengurusan Kredit.

Selepas menetapkan tarikh temujanji di cawangan AKPK terdekat, bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadiri sesi kaunseling tersebut. Anda juga perlu tahu yang AKPK tidak berurusan dengan hutang sewa beli atau pinjaman perumahan dibawah PPK. Selain itu, anda juga tidak boleh memohon apa-apa kemudahan kredit dari mana-mana bank sementara dibawah program tersebut.

Mengapa anda perlu menyertai Program Pengurusan Kredit

Menurut AKPK, antara sebab-sebab utama yang mendorong peserta ke program ini ialah perancangan kewangan yang buruk (36.6%), bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi (34.9%), kegagalan atau perlambatan aktiviti perniagaan (12.3%), kehilangan pekerjaan, diberhentikan atau kehilangan pencari nafkah dalam keluarga (8.9%), perbelanjaan perubatan tinggi (5.9%) dan lain-lain (1.4%).

Sejak penubuhannya, AKPK telah menasihati 1.1 juta orang, dan secara kumulatif, mendaftarkan sekitar 330,000 rakyat Malaysia ke dalam program Pengurusan Hutang (DMP) AKPK, kata Nirmala. DMP telah membantu 29,876 individu melunaskan hutang mereka, berjumlah RM1.34 bilion.

Semasa berada di bawah program AKPK, segala tindakan undang-undang terhadap pelanggan akan ditangguhkan sehingga pelanggan bersedia untuk menyelesaikanhutang mereka tanpa diganggu oleh agensi pengumpulan, kata Nirmala. Dia juga menekankan bahawa sekiranya terdapat kegagalan pembayaran, institusi kewangan akan terus mendapatkan hutang mereka.

Antara yang menyertai Program Pengurusan Kredit

Menurut AKPK, mereka yang berumur antara 30 hingga 40 tahun merangkumi 130,616 orang atau sebahagian besar pemohon mereka, diikuti oleh mereka yang berusia 40 hingga 50 tahun (89,808), 20 hingga 30 tahun (43,336) dan 50 hingga 60 tahun (41,072). Mereka yang berumur 60 tahun ke atas terdiri daripada kumpulan umur paling sedikit, hanya mengisi 10,799 atau 3.4% daripada keseluruhan peserta dalam program ini.

Dalam soal latar belakang kewangan, golongan berpendapatan rendah (menghasilkan kurang dari RM24,000 setiap tahun), merangkumi 105,156 atau 33.3% dari jumlah keseluruhan 315,963 peserta. Ini diikuti oleh 65,602 peserta yang memperoleh RM24,000 hingga RM36,000 dan 50,888 peserta yang masing-masing memperoleh RM36,000 hingga RM48,000. Yang menghairankan, mereka yang berada dalam kelompok pendapatan kedua tertinggi, RM96,000 hingga RM120,000 menyumbang kepada 37,180 peserta. Berikut adalah senarai penghasilan lain:

  • RM48,000 hingga RM60,000 - 33,978 peserta
  • RM120,000 ke atas - 8,923 peserta
  • RM60,000 hingga RM72,000 - 8,115 peserta
  • RM72,000 hingga RM96,000 - 5,789 peserta

Pelanggan yang mengikuti program ini juga dapat memanfaatkan Social Synergy, inisiatif kolaborasi antara AKPK, SOCSO, MDEC dan GIATMARA. "Sebagai contoh, katakan seseorang kehilangan pekerjaannya dan dia datang ke AKPK memikirkan cara membayar hutangnya, kami akan cuba menghubungkannya dengan PERKESO untuk mengetahui apakah dia mempunyai faedah dan sebaliknya," kata Nirmala.

Kaunseling Kewangan

AKPK telah mencatatkan sedikit penurunan orang yang mencari kaunseling kewangan tahun 2020. Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, ia telah menghadapai lebih 1.1 juta kes kaunseling, di mana 330,788 orang telah memilih PPK.

Rakyat Malaysia boleh menghadiri sesi kaunseling dan nasihat untuk menguruskan hutang mereka dari AKPK, dan juga akan membantu mereka untuk mengenal pasti langkah-langkah sesuai yang boleh diambil.

Sesi kaunseling dan nasihat ini adalah berdasarkan satu sama satu, dari segi belanjawan, isu berkaitan kredit dan juga pengurusan wang. Anda tidak perlu membuat temu janji untuk sesi ini, cuma perlu rujuk jadual sesi seperti dibawah:


Cara-cara untuk mendaftar Program Pengurusan Kredit (PPK)

Pendidikan Kewangan

Selaras dengan matlamat AKPK untuk menambah baik pengetahuan kewangan rakyat Malaysia, agensi ini mengendali program pendidikan pengguna, bengkel, seminar, dan ‘road shows’. AKPK turut menawarkan pendidikan kewangan berdasarkan situasi yang dihadapi oleh individu dalam peringkat kehidupan yang berbeza. Dalam jangka panjang, agensi ini bakal memberikan fokus untuk mendidik Generasi Y dan Z bagi memupuk kefahaman kewangan untuk masa hadapan.

Anda boleh layari ke laman web Pusat Pembelajaran AKPK. Di sana, pelbagai maklumat kewangan yang sesuai untuk semua pengguna seperti siswazah, mereka yang baru mula berkeluarga, bakal pesara, dan ramai lagi. AKPK turut menyediakan buku panduan kewangan yang mudah difahami dalam pelbagai bahasa, seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, dan Bahasa Tamil. Kesemuanya boleh dibeli pada harga berpatutan di cawangan AKPK.

Berkait dengan pengurusan kewangan peribadi, terutamanya dengan wabak COVID-19 yang masih berleluasa, AKPK memegang empat prinsip, iaitu:

1. Ketahui isu semasa

Langkah pertama, kata Nirmala, adalah mengakui hakikat bahawa hanya anda yang dapat mengubah nasib anda.

"Anda boleh melakukan banyak perkara yang berkaitan dengan kewangan peribadi. Tetapi jika anda tidak tahu menentukan faktor yang menyebabkan permasalahan kewangan anda, anda akan sukar untuk mengambil tindakan," katanya.

Ini adalah langkah di mana anda melihat kewangan anda dan mengetahui apa yang anda ada dan apa yang anda ingin capai dalam hidup - fokus pada matlamat. Contohnya, jika anda tidak pernah mempunyai simpanan, nyatakan fakta itu, dan berusaha untuk memperbaikinya.

2. Ketahui masalah yang dihadapi

Ini adalah tahap di mana anda menyenaraikan pendapatan dan perbelanjaan anda.

"Ini adalah aliran tunai semasa anda. Kaji apa yang anda ada dan apa yang akan anda lakukan dengan wang itu,” katanya.

3. Bertindak dengan bijak

Ini adalah tahap di mana anda dapat mengetahui apa yang boleh anda lakukan dalam keadaan anda sekarang.

Sebagai contoh, jika anda memerlukan lebih banyak penjimatan, maka sangat mustahak anda berusaha menjimatkan sedikit lebih banyak, kata Nirmala.

Lakukan tindakan yang betul sehingga dapat dikendalikan pada tahap tertentu, sebelum beralih ke tindakan berikutnya untuk meningkatkan atau mempelbagaikan pendapatan, kata Nirmala.

"Kerana anda akhirnya boleh kehilangan pendapatan tambahan yang anda hasilkan jika anda tidak mengambil tindakan yang betul, jadi anda mesti mengurusnya terlebih dahulu," katanya.

4. Dapatkan nasihat AKPK

Langkah terakhir - minta bantuan AKPK untuk mendapatkan nasihat lebih lanjut.

Cara untuk dapatkan bantuan AKPK

Oleh kerana MCO, pejabat AKPK terhad kepada orang ramai, tetapi perkhidmatan masih tersedia dalam talian. Peminjam hanya perlu melayari laman web AKPK www.akpk.org.my untuk menempah tarikh dengan kaunselor AKPK.

AKPK mempunyai 11 cawangan dan 26 pusat kaunseling di seluruh Malaysia. Ketahui lokasi yang berdekatan dengan tempat tinggal anda atau hubungi talian bebas tol AKPK: 03-26167766

The CompareHero.my team is comprised of many talented individuals, sharing their knowledge, experiences and research to help others make better financial decisions.

FINANCIAL TIP:

Use a personal loan to consolidate your outstanding debt at a lower interest rate!

Subscribe to our newsletter to stay up-to-date with exclusive money-saving tips & great deals